Tentang Saya

Bagaimana Ianya Bermula…

 

Wan Nor Fadhilah Binti Mohamed atau lebih dikenali sebagai Kak Wan dilahirkan pada tahun 1982 dan berasal dari Tanah Merah, Kelantan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Suria II dan Sek Men Ugama (Arab) Tanah Merah, Kelantan. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan. Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Perakaunan di sebuah syarikat swasta pada 2006. Berkat dedikasi yang tinggi, beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Pentadbiran di syarikat yang sama pada 2014.

 

Bermula dengan keinginan mencari medium pelaburan yang terbaik sebagai persediaan hari-hari depan, beliau memulakan langkah mencari ilmu dalam bidang pelaburan kewangan. Beliau memulakan pencarian ilmu melalui pembacaan buku-buku pelaburan, menghadiri kelas-kelas dan seminar-seminar pelaburan serta mengikuti perkongsian berkala “otai-otai” dalam bidang tersebut. Dalam pencarian tersebut, beliau membandingkan beberapa medium pelaburan yang ada seperti pelaburan ASB, unit trust / amanah saham, perniagaan, pelaburan emas dan pelaburan hartanah. Akhirnya, beliau memutuskan untuk memfokuskan kepada bidang pelaburan hartanah kerana beberapa ciri-ciri yang diingini seperti kenaikan nilai yang tinggi dan konsisten, modal permulaan yang rendah dan risiko pelaburan yang sederhana.

 

Berbekalkan ilmu yang diperolehi dalam bidang pelaburan hartanah, beliau dan suami berjaya menambah 4 buah rumah dalam portfolio pelaburan mereka dalam masa 2 tahun (2015 – 2017), manakala sebuah rumah lagi telah dibeli sejak 2008. Bidang hartanah kemudiannya menimbulkan minat yang mendalam dalam diri beliau. Beliau berhasrat membantu orang ramai yang ingin membeli hartanah, sama ada untuk didiami atau bagi tujuan pelaburan. Moto beliau adalah “Hartanah kediaman juga merupakan pelaburan kewangan terbaik”. Berdasarkan slogan itu, kelewatan membeli hartanah dikalangan masyarakat Malaysia, khususnya golongan muda menurut beliau adalah suatu kerugian kerana nilai hartanah yang sentiasa meningkat naik dan dibuktikan sejak zaman berzaman. Langkah pertama beliau ialah memberi kesedaran pemilikan hartanah kepada staf-staf junior di pejabat dan berasa sangat gembira dapat membantu seorang staf mendapatkan hartanah pertama pada usia yang muda walaupun bergaji rendah.

 

Bertitik tolak daripada situ, beliau mula mendaftar sebagai ejen hartanah di bawah agensi Firdaus & Associates Property Professionals (yang kemudiannya bertukar kepada Landsworth Properties Sdn Bhd) pada 2019 dengan tujuan membantu lebih ramai penduduk Malaysia terutamanya di KL dan Selangor untuk memiliki rumah sendiri. Pada mulanya, aktiviti dalam bidang hartanah dijalankan secara separuh masa selepas waktu bekerja. Bagaimanapun, kekangan masa yang tinggi untuk kedua-dua pekerjaan mendorong beliau melepaskan kerja hakiki sebagai Pengurus Pentadbiran untuk memberi tumpuan kepada bidang hartanah yang semakin diminati, disamping impian untuk melihat lebih ramai orang dapat membeli hartanah idaman mereka.

 

Kini, beliau aktif mengiklankan hartanah-hartanah yang berpotensi untuk dijual, memberi panduan pemilihan hartanah yang sesuai dengan kelayakan, lokasi dan kehendak pelanggan, membantu orang ramai untuk mendapatkan pinjaman perumahan, mengesyorkan projek-projek baru yang bertepatan dengan citarasa dan bajet pelanggan serta memberikan informasi-informasi tentang pemilikan hartanah kepada mereka yang berminat dengan bidang tersebut.