Keputusan membeli rumah adalah keputusan yang besar bagi seseorang, mahupun sesebuah keluarga. Bagaimanapun, terdapat beberapa sebab yang perlu dipertimbangkan mengapa anda perlu membeli rumah secepat mungkin.
Umur Semakin Meningkat
Semakin lama, umur kita semakin meningkat. Pembiayaan perumahan pula diberikan hanya sehingga seseorang berumur 70 tahun sahaja. Seseorang yang berumur 18 tahun – 35 tahun berpeluang mendapat pembiayaan sehingga maksimum 35 tahun. Akan tetapi, selepas umur tersebut, jangkamasa pembiayaan hartanah semakin berkurangan. Jangkamasa pembiayaan yang pendek menyebabkan bayaran bulanan bank / bank installment menjadi semakin tinggi. Harga premium insuran juga semakin meningkat kerana pihak penyedia insuran menjangkakan kenaikan risiko kesihatan bagi peminjam yang lebih berusia.
Harga Rumah Semakin Mahal
Saya masih ingat ketika mencari rumah pertama sekitar tahun 2008 dahulu. Ketika itu, harga teres 2 tingkat di Ampang adalah dalam lingkungan RM250,000. Akan tetapi, pada masa sekarang iaitu tahun 2020, harga rumah teres 2 tingkat telah meningkat ke RM650,000 di lokasi yang sama. Ini bersamaan dengan kenaikan sebanyak 13.33% setahun!
Walaupun sesetengah jenis rumah mengalami sedikit penurunan harga pada masa kegawatan ekonomi, tetapi harga rumah secara keseluruhannya masih kekal stabil. Manakala, harga rumah bertanah atau “landed” tetap statik dan di sesetengah lokasi masih tetap meningkat pada masa kemerosotan ekonomi berikutan permintaan untuk rumah jenis tersebut yang sentiasa ada dan berterusan.
Oleh kerana itu, dapatlah disimpulkan bahawa dalam jangka masa panjang, harga rumah tetap naik dan telah dibuktikan sejak zaman berzaman. Malah, kemerosotan ekonomi seperti sekarang merupakan satu sebab terbaik untuk membeli hartanah. Jika harga hartanah bertanah masih belum mampu dibeli, apa salahnya mulakan dengan hartanah bertingkat dahulu.
Rumah Adalah Keperluan
Sama ada mendiami rumah sendiri atau menyewa, kita semua tetap perlukan sebuah rumah untuk berteduh. Rumah merupakan keperluan asas yang perlu dipenuhi selepas makanan dan pakaian. Ramai orang masih risau tentang pembiayaan hartanah yang perlu dikeluarkan setiap bulan jika membeli rumah. Bagaimanapun, sepertimana pembiayaan bank, jika menyewa juga perlu membayar kepada tuan rumah setiap bulan. Walaupun bayaran sewaan bulanan rumah selalunya lebih rendah, tetapi ianya tetap berisiko kerana ada kemungkinan tuan rumah akan menaikkan harga sewa. Manakala bagi pembiayaan bank, bayaran bulanan adalah lebih konsisten dengan pembiayaan Islamik. Jadi, membayar untuk rumah sendiri adalah lebih “murah” dalam jangkamasa panjang.
Ada juga yang berpendapat bahawa pembiayaan rumah mengambil masa sehingga puluhan tahun dan risau jika tidak dapat membayar pada masa hadapan. Bagaimanapun, risiko sebegitu tetap wujud sekiranya menyewa. Sekiranya seseorang boleh berpindah ke rumah yang lebih rendah bayaran sewaan jika tidak dapat membayar rumah sewa di masa depan, rumah sendiri juga ada pilihan yang sama. Sekiranya peminjam menghadapi kesukaran membayar rumah kerana kehilangan pekerjaan atau gaji dipotong, seseorang itu masih boleh menyewa rumah yang lebih rendah bayaran sewaan dan menyewakan pula rumahnya atau menjual rumah tersebut dan mendapat sedikit pulangan. Ini kerana pembiayaan bank adalah maksimum 90% sahaja. 10% daripada harga rumah adalah hak peminjam. Jadi, pemilik rumah mempunyai lebih pilihan di masa terdesak, di samping mendapat sedikit kelegaan melalui penjualan rumah.
Harga Rumah Naik Lebih Cepat Berbanding Kenaikan Gaji
Sewaktu saya memulakan kerjaya sebagai Pegawai Perakaunan di syarikat swasta pada 2006, gaji permulaan yang ditawarkan adalah RM1,500 sebulan. Manakala gaji permulaan bagi jawatan kerani am pula ditawarkan sebanyak RM1,200 sebulan. Pada tahun 2020, gaji permulaan di syarikat yang sama adalah RM2,400 bagi jawatan Pegawai Perakaunan dan RM1,600 bagi jawatan kerani am. Ini adalah bersamaan dengan 4.3% kenaikan bagi jawatan Pegawai Perakaunan dan 2.38% kenaikan bagi jawatan kerani am. Kenaikan gaji yang rendah ini berlaku dikebanyakan negara dan disumbangkan oleh faktor lambakan tenaga pekerja dan juga graduan mengganggur. Masing-masing bersaing bagi mendapatkan pekerjaan dan bersedia menerima jawatan dengan bayaran yang rendah.
Bayangkan kenaikan harga rumah sebanyak 13.33% setahun seperti yang telah dinyatakan di atas berbanding kenaikan gaji sebanyak kurang daripada 5% setahun! Ini menjelaskan sebab mengapa harga rumah dirasakan semakin tidak mampu dimiliki. Kekurangan bilangan rumah yang mampu dibeli berbanding peningkatan populasi penduduk, terutamanya di bandar-bandar besar menyebabkan permintaan semakin tinggi dan harga juga semakin meningkat. Peningkatan harga rumah ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi di negara-negara seluruh dunia, terutamanya di bandar-bandar besar.
Tiada satu solusi yang benar-benar efektif boleh dilakukan dengan peningkatan harga rumah, melainkan melihatnya sebagai peluang untuk segera membeli rumah dan mengambil tindakan pantas untuk mendapat kebaikan daripada kenaikan harganya di masa hadapan.
Hartanah Adalah Pelaburan Jangka Masa Panjang Terbaik
Alasan yang seterusnya ini berkait dengan hujah sebelumnya tentang mengapa kita perlu membeli rumah sesegera mungkin. Kenaikan harga hartanah kurang dirasai dalam jangka masa pendek kerana keadaan ekonomi mempunyai putaran masa yang tersendiri. Beberapa tahun dalam keadaan ekonomi yang kurang baik menyebabkan harga hartanah dilihat tidak meningkat. Bagaimanapun, dalam keadaan ekonomi yang baik, harga hartanah naik dengan cepat. Oleh itu, perlu bagi kita mengambil peluang ketika berlaku sedikit penurunan harga hartanah pada masa kegawatan ekonomi dan menyimpannya dalam jangka masa yang panjang (lebih kurang 10 ke 20 tahun) bagi melihat peningkatan harga yang ketara.
Bayangkan jika kita membeli rumah pada usia 25 tahun, kenaikan ketara boleh dilihat pada umur 35 tahun iaitu selepas 10 tahun. Pada umur ini, masih terdapat pilihan untuk “pembiayaan semula / refinance” rumah tersebut sehingga maksimum 35 tahun lagi bagi mendapatkan tunai untuk membeli rumah yang lebih besar dan selesa, menyelesaikan hutang-hutang lain untuk keselesaan aliran tunai (cashflow) atau menambah portfolio pelaburan hartanah dengan membeli rumah-rumah pelaburan yang lain. Sekiranya rumah pertama dibeli pada umur 45 tahun, ada kemungkinan berlaku kesukaran untuk membuat pembiayaan semula pada umur 55 tahun kerana tempoh pinjaman yang singkat menyebabkan bayaran bulanan menjadi tinggi. Oleh itu, walaupun harga hartanah meningkat dengan tinggi, kelebihan tersebut tidak dapat dinikmati kerana faktor masa dan umur yang telah berlalu.
Dengan Hartanah, Kita “Terpaksa” Menyimpan
Terdapat ramai dikalangan masyarakat kita pada hari ini tidak berjaya menyimpan wang gaji secara konsisten kerana seringkali tergoda oleh pujukan nafsu untuk berbelanja. Ada sahaja keperluan dan keinginan yang memerlukan perbelanjaan wang, menyebabkan kebanyakan daripada kita tiada simpanan. Bagaimanapun, dengan pembelian hartanah diusia muda, kerisauan tentang ketiadaan simpanan di masa depan boleh dikurangkan kerana pembelian hartanah merupakan sejenis “simpanan paksa” atau forced saving.
Katakan kita membayar RM1,000 sebulan bagi hartanah yang berharga RM250,000 pada masa sekarang. Walaupun terpaksa mengeluarkan RM12,000 setahun bagi membayar rumah tersebut, tetapi kita boleh mendapatkan kembali wang yang telah dikeluarkan dengan kenaikan harga hartanah di masa hadapan. Wang ini boleh digunakan untuk pembiayaan pelajaran anak-anak atau kegunaan sewaktu keadaan mendesak. Oleh itu, kita boleh menikmati kehidupan yang indah di rumah dan pada masa yang sama tidak perlu risau tentang simpanan masa depan. Untung bukan? 😉
Hartanah Menjadi Pelindung Keluarga
Kematian dan perpisahan bukanlah sesuatu yang menyenangkan kita semua. Bagaimanapun, ianya merupakan sesuatu yang pasti akan berlaku. Sekiranya ketua keluarga meninggal dunia, rumah yang ditinggalkan boleh menjadi penyelamat keluarga kerana dilindungi insuran. Setelah ketiadaan ketua keluarga, isteri dan anak-anak masih ada tempat berteduh tanpa perlu membayar kepada bank lagi. Bagaimanapun, ketua keluarga dinasihatkan mengambil takaful hibah sebagai perlindungan tambahan kerana rumah yang ditinggalkan mungkin perlu melalui pembahagian faraid dengan ahli keluarga yang lain. Di samping itu, isteri dan anak-anak yang ditinggalkan juga boleh mendapat sedikit bayaran tunai bagi membiayai perbelanjaan harian mereka.
Begitupun, situasi ini akan menjadi lebih buruk sekiranya keluarga tersebut tinggal menyewa. Ketiadaan ketua keluarga sebagai penyumbang utama kewangan keluarga akan menjadi beban yang tinggi untuk balu dan anak-anak yang ditinggalkan. Mereka mungkin terpaksa mencari rumah yang lain dan perlu mencari sumber kewangan baru bagi membayar rumah sewa dan perbelanjaan harian.
Kebebasan dan Kepuasan Diri Sendiri
Perasaan apabila berjaya memiliki rumah pertama adalah sangat-sangat istimewa. Kepuasan diri terasa sebaik sahaja berjaya menandatangani perjanjian jual beli rumah. Tertunggu-tunggu masa untuk mendapatkan kunci bagi mendiami rumah idaman. Kepuasan diri menimbulkan keseronokan dan melahirkan sifat-sifat positif dalam diri pemilik rumah.
Tinggal di rumah sendiri juga memberikan kebebasan kerana boleh menentukan dekorasi rumah yang diingini. Pemilik rumah bebas memasang wallpaper kegemaran, memasang wardrobe dan kitchen cabinet yang diminati, mengecat warna kegemaran, menebuk atau menampal di dinding rumah serta melakukan ubahsuai dengan menambah bahagian hadapan atau belakang rumah dengan binaan kekal.
Pemilik rumah juga bebas tinggal di rumah sendiri tanpa sesiapa yang boleh meminta untuk keluar. Mereka yang menyewa pula sering kali mengeluh apabila tuan rumah ingin mengambil rumah kembali. Menyewa rumah juga seringkali menimbulkan keresahan dan dilema sekiranya berlaku kerosakan yang besar. Hendak dibaiki, terasa rugi. Di adukan kepada tuan rumah, diam seribu bahasa. Jika kerosakan dibiarkan, akan mengganggu keselesaan hidup seharian. Bila ini berlaku, pasti yang berlegar di fikiran adalah, “Alangkah baiknya kalau aku tinggal di rumah sendiri”!
Sumber Kebahagiaan, Kegembiraan & Keselesaan Ahli Keluarga
Tinggal di rumah sendiri juga dapat memberikan ketenangan fikiran, kestabilan emosi, keselesaan dan perasaan gembira, serta kebahagiaan dalam diri setiap ahli keluarga. Si isteri merupakan orang yang paling gembira apabila melangkah masuk ke dalam rumah sendiri kerana dapat menghias dan menyusun atur keadaan rumah mengikut citarasa dan keinginannya. Anak-anak juga gembira kerana tidak perlu lagi berpisah dengan rakan-rakan mereka yang merupakan anak-anak jiran yang tinggal di sekitar rumah. Kegembiraan dan keceriaan anak-anak menyebabkan mereka dapat membesar dengan baik dan membentuk sifat-sifat positif dalam diri.
Yang paling penting, si suami sebagai ketua keluarga juga mendapat ketenangan fikiran dan emosi apabila melihat kegembiraan ahli keluarga yang lain. Tidak perlu lagi risau tentang mencari rumah sewa baru yang sesuai, mengangkat barang-barang setiap kali berpindah rumah dan memujuk anak-anak yang masih belum mengerti. Ini membolehkan suami memberi tumpuan dan fokus kepada pekerjaan, sekaligus meningkatkan prestasi di tempat kerja dan seterusnya menjadi faktor kenaikan pangkat dan gaji yang lebih tinggi.