Sesetengah rakyat Malaysia mungkin tidak tertarik dengan hartanah subsale. Bagaimanapun, terdapat beberapa kelebihan hartanah subsale berbanding kategori hartanah lelong atau hartanah sedang dalam pembinaan. Kelebihan yang utama pastinya harga yang berbaloi, banyak pilihan dan hartanah yang telah sedia untuk diduduki. Ada juga pilihan rumah-rumah yang telah diubahsuai dengan cantik dengan dekorasi menarik serta tawaran jualan beserta kelengkapan perabot. Oleh kerana itu, tidak hairan lah terdapat kira-kira 80% transaksi hartanah di Malaysia termasuk di dalam kategori ini mengikut laporan rekod Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Langkah memulakan misi mencari rumah subsale boleh dibahagikan kepada 3 peringkat:
Sebelum Sesi ‘Viewing’
- Kira kelayakan pinjaman anda.
- Kenalpasti jenis rumah, lokasi, ciri-ciri penting dan anggaran harga rumah.
- Sediakan deposit secukupnya iaitu sekurang-kurangnya 13% daripada harga rumah. Ini adalah bagi membayar 10% deposit dan 3% kos-kos sampingan lain (Nota: Sekiranya kekurangan wang deposit, anda boleh berhubung dengan perunding hartanah anda berkenaan cara yang mungkin dapat dilakukan bagi membantu anda).
- Mulakan pencarian di medium-medium pengiklanan rumah seperti mudah.my, PropertyGuru, Edge Property, carian google dan sebagainya.
- Hubungi agen atau perunding hartanah yang mengiklankan rumah yang anda minati bagi sesi ‘viewing’ (melihat rumah).
Semasa Sesi ‘Viewing’
- Datang tepat pada masanya agar tuan rumah dan perunding hartanah boleh memberi layanan yang sepatutnya. Elakkan datang sangat lewat kerana sesi viewing kemungkinan menjadi lebih pendek kerana pihak-pihak terlibat mempunyai komitmen lain dan anda seterusnya tidak dapat memberi fokus kepada keadaan rumah dengan baik. Soalan-soalan berkaitan hartanah yang ingin dibeli juga tidak dapat dijawab dengan terperinci.
- Semasa sesi viewing, buat lah semakan menyeluruh ke atas hartanah yang ingin dibeli.
- Dapatkan info berkenaan ciri-ciri penting yang menjadi keutamaan pembelian. Sebagai contoh, dimanakah sekolah terdekat, apakah renovasi yang telah dilakukan, apa kelengkapan rumah dan perabot yang termasuk dalam harga belian, dan sebagainya.
Selepas Sesi ‘Viewing’
- Sekiranya anda berminat dengan hartanah tersebut, segera bertanya kepada perunding hartanah anda berkenaan prosedur untuk membuat booking, prosedur mendapatkan pinjaman dan tempoh masa bagi mendapatkan kunci.
- Buat bayaran booking segera bagi memastikan pemilik rumah menghentikan pengiklanan rumah tersebut sementara anda mendapatkan pinjaman perumahan daripada institusi yang berkaitan.
(Tips: Letakkan klausa di dalam OTP – “Pembelian akan diteruskan sekiranya mendapat sekurang-kurangnya 90% pembiayaan bank.” Ini bagi mengelakkan anda terpaksa meneruskan transaksi jual beli sekiranya pinjaman yang diperolehi adalah kurang daripada 90% daripada harga rumah. Peratusan kelulusan pembiayaan yang rendah menyebabkan anda perlu menyediakan wang tunai yang banyak bagi membayar perbezaan harga rumah dengan jumlah pembiayaan yang diperolehi.
- Sediakan dokumen yang diperlukan dengan segera kerana tempoh memohon pembiayaan yang dibenarkan adalah sehingga 21 hari.
- Sign SNP dalam masa 21 hari dari tarikh bayaran booking.
- Sentiasa berhubung dengan peguam SPA dan peguam bank berkenaan progress pembelian.
- Simpan semua dokumen di dalam satu fail bagi rujukan di masa depan.